Kronologi Pulau Rintis

    Maklumat selanjutnya: Senarai episod BoBoiBoy

Musim 1 (2011–12) (13 episod)

Musim pertama mempunyai 13 episod dan satu episod akhir lanjutan khas. Ia mula bersiaran pada Ahad, 13 Mac 2011 di TV3. Ia mula bersiaran di Disney Channel Asia pada 11 Jun 2011, dan di NTV7 bermula Mei 2013.

Poster promosi BoBoiBoy

Kisah dimulakan dengan watak utama, BoBoiBoy berada dalam perjalanan menuju rumah datuknya, Tok Aba di Pulau Rintis untuk cuti sekolah. Pada masa yang sama, Adu Du, makhluk asing dari planet Ata Ta Tiga sedang menuju Bumi, bagi menjadi sumber tenaga. Dia menemui di Bumi terdapat koko, sumber tenaga yang sangat berkuasa, yang telah pupus dari palnetnya sekitar 30,000 tahun lampau. Adu Du mahu mendapatkan semua koko untuk dirinya bagi membolehkannya menjadi wira di planetnya. Bagi memastikan perancangannya berjaya, dia mendapatkan pertolongan dari sebuah Sfera Kuasa (Ochobot). Walau bagaimanapun, kejadian yang tidak diingini berlaku dan akhirnya BoBoiBoy yang mendapat Ochobot. Ochobot kemudiannya memberikan beberapa kuasa kepada BoBoiBoy dan rakan baharunya, Ying, Yaya dan Gopal.

Setiap episod bersiaran selama 22 minit. Disebabkan populariti animasi ini, Animonsta Studios telah menerbitkan episod akhir dengan babak lanjutan pada 1 Januari 2012.

Musim 2 (2012–13) (13 episod)

Musim kedua mempunyai 13 episod, Ia mula bersiaran pada Ahad, 27 Mei 2012 di TV3.

Dalam musim ini, BoBoiBoy memulakan babak baharu dalam kehidupannya selepas berpindah ke Pulau Rintis untuk berkumpul semula dengan Tok Aba, Gopal, Ying dan Yaya. Kisah dalam musim ini menumpukan kisah kehidupan BoBoiBoy dan kawan-kawanya di Sekolah Rendah Pulau Rintis. BoBoiBoy juga telah mendapati seorang pencabar baharunya, Fang di sekolah baharunya itu.

Fang atau Budak Misteri mula diperkenalkan pada Musim 1 dalam episod Lanjutan Akhir. Dalam episod akhir musim 2, rakan-rakan BoBoiBoy bersama-sama Fang bertarung dengan makhluk asing yang mempunyai kuasa bernama Ejo Jo yang merampas semua jam kuasa mereka kecuali milik Fang dan BoBoiBoy, dan untuk menewaskannya, Fang menggunakan semua kuasa miliknya.

Musim 3 (2014–16) (26 episod)

Musim ketiga mempunyai 26 episod, mula bersiaran pada Januari 2014 hingga Jun 2016.

Dalam musim ini, BoBoiBoy melawan Ejo Jo, dan Adu Du menjadi kawan BoBoiBoy tetapi dia bertukar kepada watak jahat kembali disebabkan ibunya. BoBoiBoy juga memperoleh kuasa elemental Api dan Air yang baharu.

Ini merupakan musim pertama yang dimuat naik di YouTube terlebih dahulu sebelum disiarkan di televisyen. Ia juga merupakan musim pertama yang mengubah lagu tema dari "BoBoiBoy Superhero Kita" kepada "Jagalah Bumi".[9]

BoBoiBoy: The Movie (2016)

Rencana utama: BoBoiBoy: The Movie

Filem pertama bagi siri ini, BoBoiBoy: The Movie mula ditayangkan pada 3 Mac 2016 di Malaysia, 18 Mac 2016 di Singapura dan 13 April 2016 di Indonesia.[10] Rentetan peristiwa dalam musim 3, filem ini membawa BoBoiBoy dan rakan-rakanya kepada pengembaraan di pulau misteri yang didiami oleh bola kuasa purba yang lebih tua daripada Ochobot dengan kuasa yang belum diketahui. Ochobot telah diculik oleh kumpulan musuh baharu yang dinamakan Tengkotak, yang diketuai oleh Bora Ra yang sedang mencari bola kuasa purba bernama Klamkabot itu. Dengan perbelanjaan RM5 juta, filem ini memperoleh maklum balas positif dan berjaya pecah panggung dengan perolehan sekitar RM20 juta.

BoBoiBoy Galaxy Musim 1 (2016–2018) (24 episod)

Rencana utama: BoBoiBoy Galaxy

BoBoiBoy Galaxy ialah penjenamaan semula bagi BoBoiBoy. Musim pertamanya mula disiarkan pada 25 November 2016 hingga 21 Jun 2018.[11] Siri baharu ini merupakan lanjutan daripada siri BoBoiBoy dan BoBoiBoy: The Movie. Ia memberi tumpuan kepada jalan cerita yang berasaskan pengembaraan, dengan lebih berepisod sehingga 24 episod semuanya.[12]

Disebabkan penjenamaan semula ini, BoBoiBoy pada mulanya terhad dengan kuasa tahap pertamanya dan mesti menguasai kesemua 7 elemen (Kilat, Angin, Tanah, Api, Air, Daun, Cahaya) sebelum mencapai kuasa tahap kedua. Sebagai perkembangan siri ini, BoBoiBoy juga mampu berpecah kepada lebih banyak berbanding 3 sebelum ini, menjadi 5 dan 7, kebolehan beliau yang telah disiarkan terlebih dahulu dalam filem pertama.

BoBoiBoy Movie 2 (2019)

Rencana utama: BoBoiBoy Movie 2

Selepas BoBoiBoy: The Movie, Animonsta Studios merancang untuk menghasilkan dua filem BoBoiBoy yang lain, yang mana Nizam Razak menyatakan bahawa mereka telah mempunyai idea untuk filem kedua.[13] Ia dilancarkan pada 8 Ogos 2019 di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei. Ia dilancarkan di Vietnam pada 30 Ogos 2019.

Selepas apa yang berlaku dalam BoBoiBoy Galaxy, BoBoiBoy dan kawan-kawanya berhadapan dengan penjahat purba yang tua bernama Retak'ka yang ingin mengambil semua kuasa elemental BoBoiBoy. Bersama-sama Hang Kasa, yang menguasai kuasa tahap ketiga tanah, iaitu kristal, mereka berlawan menentang Retak'ka yang telahpun menguasai hampir semua kuasa elemental. Di akhir filem ini, BoBoiBoy memperoleh kuasa tahap ketiga tanah, kristal, dan mempunyai kuasa untuk menggabungkan beberapa elemen dalam satu bentuk yang dipanggil 'elemental fusion' (pelakuran elemen). Contoh pelakuran elemen ini ditunjukkan dalam filem di mana BoBoiBoy Blaze dan BoBoiBoy Ais bergabung menjadi BoBoiBoy FrostFire; kemudiannya BoBoiBoy Gempa and BoBoiBoy Ais bergabung menjadi BoBoiBoy Glasier; dan terakhir, BoBoiBoy Halilintar dan BoBoiBoy Solar bergabung menjadi BoBoiBoy Supra.

BoBoiBoy Galaxy Musim 2 (2020–kini) (20–26 isu)

Tangkap layar sedutan daripada video pengenalan Power Sphera Universe

Sekuel kepada BoBoiBoy, BoBoiBoy Galaxy telah diperbaharui dengan musim kedua, yang merupakan musim kelima bagi keseluruhan siri BoBoiBoy. Siri komik ini akan membawa para pembaca mengembara bersama BoBoiBoy dan rakan-rakan untuk mendapatkan kuasa elemental baharu serta berhadapan dengan musuh-musuh baharu. Setiap isu Komik BoBoiBoy Galaxy Musim 2 ini dihiasi dengan 48 muka surat ilustrasi penuh warna. Isu pertama telah mula dikeluarkan pada 16 Mac 2020.

Nizam Razak menyatakan bahawa siri komik bulanan terbaharu ini menandakan permulaan kepada Power Sphera Universe, sebuah ‘shared universe’ yang akan menggabungkan pelbagai harta intelek daripada Monsta seperti BoBoiBoy, Mechamato, dan adiwira baharu yang akan datang[14].